Selasa, 11 Maret 2014

16 Tangkapan 120 Pemeriksaan Isu Syiah



KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa menangkap 16 orang dan menjalankan 120 pemeriksaan ke atas pihak yang dikenal pasti terbabit dalam penyebaran ajaran Syiah di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata berdasarkan laporan jabatan agama Islam negeri (Jain), sebanyak 139 kes lagi dalam pemerhatian.

Kerajaan sentiasa bersikap profesional ketika mengambil tindakan terhadap penyebaran ajaran ini dan hanya yang ada bukti kukuh sahaja akan dikenakan tindakan dan didakwa di mahkamah, katanya di persidangan Dewan Rakyat, di sini, Selasa.

Menurut Jamil Khir, maklumat polis menganggarkan terdapat kira-kira 1,500 pengikut Syiah di negara ini dan angka itu tidak termasuk pelancong, pelajar atau warga asing yang menetap sementara di negara ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Zainudin Ismail (BN-Jelebu) yang ingin tahu pihak yang terlibat dengan ajaran Syiah dan tindakan yang telah diambil terhadap mereka.

Dalam membendung ajaran itu di peringkat awal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bekerjasama rapat dengan agensi dan JAIN bagi mendapatkan maklumat berkenaan individu dan pergerakan Syiah di institusi pengajian tinggi (IPT) dan sekolah-sekolah.

“Maklumat itu akan dipanjangkan kepada pihak sekolah dan IPT untuk diambil tindakan di bawah bidang kuasa masing-masing,” katanya sambil menambah program penjelasan berhubung fahaman itu juga akan dijalankan di IPT dan sekolah.

Jamil Khir berkata negeri-negeri telah mewartakan pengharaman Syiah kecuali Kelantan, Sarawak dan Sabah yang mempunyai peruntukan undang-undang syariah sendiri untuk membendung ajaran itu. – BERNAMA

Categories: , , , , ,

0 komentar:

Posting Komentar